Empat Nilai Utama Dalam Keamanan Dan Keharmonian Agama Mengikut Konteks Singapura

Ditulis oleh Siti Nur Wardyna Binte Amirruddin

Tahun 3, Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti  Al-Azhar

VOP post 1

“Kita hidup hari ini dalam era yang mencabar. Bukan rahsia bagi semua bahawa apa yang kita hadapi dalam era ini adalah krisis moral, dan kita mesti menghormati antara satu sama lain. Namun malangnya, yang kita lihat hari ini adalah ketidakadilan dan pertumpahan darah yang meluas, yang membawa kepada konflik dan perpecahan antara masyarakat dan rakyat. Tradisi keagamaan kita kaya dengan nilai-nilai keamanan dan keharmonian, dan Singapura dianggap sebagai salah satu negara terbesar di dunia untuk kepelbagaian agama, kerana nilai agama adalah asas untuk menangani perbezaan etnik dan agama”

 

Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir semasa berucap di seminar keharmonian agama yang berlangsung pada 30 Julai  lalu, di All Saints’ Cathedral, Kaherah.

Seminar tersebut merupakan anjuran bersama pihak Pusat Persefahaman dan Kerjasama Kristian-Muslim (CCMUP) dan The Episcopal Anglican Province of Alexandria. Ia bertujuan untuk membincangkan tentang kehidupan yang aman di Singapura biarpun terdapat kepelbagaian agama, dan untuk bertukar pengalaman dalam aspek ini. Ia juga mengulas tentang peranan institusi agama dalam menggalakkan dialog dan persefahaman antara agama, dan membina masyarakat yang aman dan bertolak ansur.

Di seminar itu yang turut dihadiri para mahasiswa Singapura di Universiti Al-Azhar, pihak Kedutaan Singapura di Kaherah serta masyarakat Mesir yang beragama Kristian, Mufti tidak melepaskan peluang untuk berkongsi 4 komponen utama yang diaplikasikan dalam konteks masyarakat Singapura untuk kekal hidup harmoni.

Pertama, untuk saling mengenali antara satu sama lain tanpa mengambil kira agama atau bangsa seseorang itu. Ini bersesuaian dengan kata-kata hikmah Sayyidina Ali yang berbunyi, “Manusia itu ada dua jenis. Iaitu, boleh jadi dia saudara seagamamu atau boleh jadi dia saudara sekemanusiaanmu.”

Kedua, untuk saling bertoleransi dan berbelas kasihan. Tidaklah wajar bagi seorang muslim itu untuk menginginkan yang terbaik hanya untuk dirinya tanpa mempedulikan yang lain. Dalam mengulas aspek ini, Mufti berkongsi sepotong hadis yang berbunyi, “Tidak beriman seorang di antara kalian, sehingga dia mencintai saudaranya, apa yang dia cintai untuk dirinya”.

Ketiga, perpaduan dan kerjasama. Yang terakhir adalah interaksi dan perdamaian antara rakyat Singapura. Inilah empat komponen penting yang disampaikan oleh Mufti dalam konteks meneruskan kehidupan yang aman dan selamat antara agama.

Amatlah penting bagi masyarakat terus menerapkan komponen-komponen ini, kerana ia telah berjaya dalam menjadikan Singapura antara salah satu negara terbesar di dunia untuk kepelbagaian agama. Baru-baru ini, negara kita juga telah menyambut Hari Kebangsaan yang ke 59. 59 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Singapura telah mengharungi pelbagai cabaran seperti krisis sumber air dan wabak KOVID-19 yang melanda dunia beberapa tahun lepas. Namun dengan kesatuan rakyat, Singapura berhasil dalam menangani cabaran-cabaran ini dan terus kekal semangat sehingga hari ini! Ini bersesuaian dengan apa yang diucapkan dalam Ikrar Negara Singapura, ‘Regardless of race, language or religion to build a democratic society’.

Dalam agama Islam juga, umat Islam diperintahkan untuk saling menghormati dan bersikap baik dengan segenap masyarakat tanpa melihat perbezaan agama dan bangsa.

Sebagai penuntut ilmu agama di Al-Azhar, saya berharap agar dapat pulang ke tanah air Singapura dan menyampaikan mesej yang benar dan tepat tentang Islam. Agama Islam bukan sekadar tentang tauhid semata-mata. Nilai-nilai kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab sosial juga perlu diterapkan. Ini membuktikan bahawa seorang Muslim itu boleh terus menjadi rakyat Singapura yang sejati dan pada masa yang sama tidak mengetepikan ajaran dan perintah yang dituntut Islam.

Tarikh Catatan: 17 September 2024 

read other articles