Ditulis oleh Muhammad Nafiis Bin Osman
Tahun 4, Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar
Kaherah, 29 Oktober 2024: Ustaz Muhammad Aiman Bin Omar mencipta sejarah baru bagi komuniti PERKEMAS apabila beliau menjadi pelajar Singapura pertama yang menamatkan pengajian pascasiswazah dalam bidang Hadith di Kuliah Ulum, Universiti Al-Azhar dengan markah cemerlang.
Perjalanan Ustaz Aiman bermula pada tahun 2019, namun ia bukanlah satu laluan yang mudah. Setahun selepas menyelesaikan peringkat Tamhidi, dunia dilanda pandemik COVID-19. Namun, beliau tetap berusaha tanpa kenal erti putus asa. Pandemik tidak menghalangnya daripada terus mengejar impian dan menyelesaikan pengajian hingga akhirnya berjaya menghasilkan tesis dalam bidang Hadith.
Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan ketekunan dan kecekalan, segala cabaran boleh diatasi. Ustaz Aiman bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga berjaya menyeimbangkan komitmen antara pelajaran, kerja, dan keluarga. Inilah teladan dan inspirasi buat kita semua.
Nasihat untuk Generasi Mendatang:
Bagi kami yang masih menuntut ilmu di bumi Mesir, kejayaan Ustaz Aiman adalah bukti bahawa tamatnya pengajian ijazah hanyalah satu permulaan. Setiap tahap dalam pembelajaran adalah peluang untuk terus mencari hikmah dan memahami dengan lebih mendalam. Ilmu bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi ia adalah tanggungjawab yang menuntut kita untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Dalam perjalanan ini, penting untuk selalu bersyukur, menjaga niat, dan tidak mudah berputus asa. Setiap cabaran yang datang bukan penghalang, tetapi asbab untuk kita membina kekuatan dan kematangan. Jangan takut untuk bermimpi besar, tetapi ingatlah bahawa impian memerlukan usaha yang berterusan dan doa yang ikhlas.
Semoga semangat Ustaz Aiman menjadi inspirasi bagi kita semua untuk terus berusaha dengan gigih. Biarlah kejayaan yang kita capai kelak bukan sahaja memberi manfaat kepada diri kita sendiri, tetapi juga menjadi asbab kebaikan untuk keluarga, masyarakat, dan ummah secara keseluruhan.
Tarikh Catatan: 10 November 2024